Tokan galak seludup bila Thailand ‘halalkan’ ganja

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Jun – Kebenaran menanam ganja bagi tujuan komersial di Thailand memberi peluang besar kepada kes penyeludupan dadah itu di pintu sempadan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setelah kebenaran itu dikuatkuasa di negara jiran, perkara itu akan ‘mengghairahkan’ kes sindiket penyeludupan berlaku dalam negara ini.

Lantaran itu, ujarnya, pihak polis akan memperkasakan lagi penguatkuasaan dan kawalan di pintu masuk sempadan negara bagi menangani isu jenayah rentas sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.

“Isu kebenaran ganja di Thailand memang akan menimbulkan ‘ keghairahan’ yang lebih di pihak kita, jadi ia dah tidak ada had lagi.

“Mungkin semua (sindiket) akan tunggu di sempadan negara untuk bawa masuk ke Malaysia, kita pun akan pertingkatkan lagi kawalan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan forum dalam Seminar Seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 diadakan di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Tambahnya, bagi isu penyeludupan ganja, semalam lebih 460 kilogram ganja yang diseludup dari Thailand berjaya dirampas hasil tangkapan dilakukan pihak polis di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, kes pengedaran dadah berlaku dalam negara kali ini dilihat membimbangkan malah ia turut berlaku dalam kalangan gangsterisme yang kini telah bertukar kepada kegiatan pengedaran dadah.

“Kita dapati banyak kegiatan gangsterisme yang berlaku dalam negara sekarang banyak terlibat dalam pengedaran dadah.

“Hal ini kerana kita dapati ia mendatangkan hasil yang lumayan kepada mereka.

“Jadi untuk perkara ini pihak polis mengambil pendekatan holistik membabitkan semua agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi terlibat dalam membanteras isu dadah di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1761
Kongsi :
Previous post Op Kesan: Perkeso keluar 1,124 kompaun ke atas majikan
Next post Peniaga diingatkan beretika, tolak ansur elak perselisihan dengan pelanggan
Ubah saiz-+=