Tram di Melaka boleh direalisasikan jika kerajaan stabil

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TANGGA BATU 8 November – Tram sebagai mod pengangkutan baharu di Melaka boleh direalisasikan sekiranya rakyat memilih kerajaan yang stabil, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata, apa jua cadangan demi kebaikan rakyat yang dihasratkan Kerajaan Negeri boleh diteruskan asalkan aliran itu selari dengan Kerajaan Pusat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, bukan sahaja tram, malah projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) juga akan dirancang serta direncanakan semula demi kebaikan rakyat.

“Begitu juga aspek pengangkutan awam lain seperti bas henti-henti. Kita perlu ada Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST), jika tidak, tiada pengusaha yang sanggup beri perkhidmatan terbaik. Jadi, itu antara agenda kita.

“Sebab itu penting untuk (rakyat) guna undi dan beri sokongan kepada parti yang sama kerana ini akan menjamin kesinambungan dasar dan hala tuju bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pengundi di tapak pasar malam Lereh dan Tokong Hock Seng Keng, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Tangga Batu Datuk Lim Ban Hong; calon BN Alor Gajah Shahril Sufian Hamdan dan calon BN Kota Melaka Kon Qi Yao.

Mengulas mengenai pertukaran kerusi di antara MCA dan UMNO di Parlimen Tangga Batu serta Alor Gajah, Ka Siong berkata, perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu memandangkan kedua-dua calon yang dipilih adalah mereka yang cukup berwibawa dan mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Mengambil contoh Parlimen Tangga Batu, beliau menyifatkan keputusan itu tepat memandangkan Ban Hong merupakan anak jati kawasan itu dan sudah tidak asing dengan rakyat memandangkan dia juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang.

Sementara bagi Alor Gajah pula, beliau menyifatkan Shahril bukanlah calang-calang individu kerana dia sudah terkenal sebagai anak muda yang mempunyai kriteria pemimpin progresif dan arif tentang ekonomi.

“Sebab itulah saya rasa terpanggil untuk memenangkan kedua-dua calon ini kerana mereka merupakan calon muda dan bertenaga yang boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2734
Kongsi :
Previous post Hapus tol janji basi, temberang rakyat – Ka Siong
Next post Calon BN diharap fahami, terjemah manifesto kepada rakyat
Ubah saiz-+=