Hapus tol janji basi, temberang rakyat – Ka Siong

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TANGGA BATU 8 November – Janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol sekiranya diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai janji basi.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendirian PH untuk mengulangi janji sama yang tidak dapat dilaksanakan pada 2018 lalu merupakan suatu temberang dan tipu helah yang tidak bertanggungjawab.

Malah, katanya, pelbagai lagi janji bulan dan bintang lain yang ditawarkan PH ketika pentadbiran terdahulu tidak dapat direalisasikan, sekali gus membuktikan tindakan mereka seolah-olah mahu menipu undi.

“2018 lalu mereka kata nak mansuhkan tol, bila sudah menang kata manifesto bukan kitab suci. Tiba-tiba mereka guna satu cara yang dianggap inovatif iaitu memberikan diskaun (tol) 18 peratus, tetapi secara tersirat melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun.

“Mereka cuba memperbodoh dan memperkotak-katikkan rakyat sebagai catur. Kalau mereka tidak boleh buat dahulu (hapuskan tol) kenapa perlu ulangi semula janji.

“Jadi, saya harap kita tidak terpedaya dan rakyat boleh melihat sendiri apa yang berlaku ketika pemerintahan PH dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pengundi di tapak pasar malam Lereh dan Tokong Hock Seng Keng, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Tangga Batu Datuk Lim Ban Hong; calon BN Alor Gajah Shahril Sufian Hamdan dan calon BN Kota Melaka Kon Qi Yao.

Mengulas lanjut Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sesebuah kerajaan mestilah pragmatik dan tidak boleh menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan.

Katanya, manifesto yang ditawarkan BN bukan sekadar janji kosong, bahkan ia seuatu yang mampu direalisasikan.

“Kita akan buat sesuatu yang kita mampu dan ada dokumen penting iaitu Bajet 2023 yang boleh menjadi kesinambungan kepada apa jua bantuan sebagaimana dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1537
Kongsi :
Previous post PRU15: Manufesto BN tampil ‘PADU’, 99 amal dan usaha kemudi Malaysia ke arah negara maju
Next post Tram di Melaka boleh direalisasikan jika kerajaan stabil
Ubah saiz-+=