Transformasi Merlimau jadi kampung minda kelas pertama

Masa Membaca:4 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 27 Oktober – Mahu menjadikan orang kampung Merlimau minda kelas pertama, itu antara fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam mengekalkan identiti kawasan itu.

Menurutnya, biarpun masih mengekalkan identiti kampung namun segala perancangan infrastruktur tidak dilupakan khususnya buat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada masa akan datang.

“Saya nak mengekalkan Merlimau sebagai entiti kampung, tetapi entiti kampung yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur, Merlimau adalah kampung Melayu yang ada keunikannya sendiri.

“Tapi pada masa sama kita tidak boleh tinggal dengan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan lain-lain fasiliti supaya orang yang datang sini dapat manfaatnya.

“Paling penting orang kampung Merlimau mesti mempunyai minda kelas pertama, saya beruntung kerana berada dekat dengan penduduk di sini, selagi boleh dekat dengan rakyat saya akan cuba buat,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

3
MERLIMAU Berpeluh menjadi aktiviti membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

MERLIMAU BERPELUH AMAL GAYA HIDUP SIHAT

Berminat dalam aktiviti kesukanan menjadikan Dr Muhamad Akmal sentiasa berfikiran terbuka dengan mewujudkan pelbagai aktiviti ke arah gaya hidup sihat.

Ia termasuklah dengan mengadakan program Merlimau Berpeluh sejak Jun lalu yang mendapat penyertaan seramai 300 orang pada awalnya dan sehingga kini program itu telah diadakan setiap bulan.

Menurutnya, setiap bulan penyertaan sentiasa meningkat yang mana pada Julai lalu lebih 1,000 peserta direkodkan, diikuti 7,000 peserta pada bulan Ogos dan 2,000 peserta pada September lalu.

“Untuk bulan September saya tidak uar-uarkan sangat program ini, namun lebih 2,000 peserta juga hadir, adanya program begini kita dapat menerapkan gaya hidup sihat DUN Merlimau.

“Setiap kali diadakan kita akan tukar lokasinya, supaya peserta yang mengikuti program ini dapat melihat keunikan setiap kampung tersebut,” katanya.

2
MERLIMAU Night Market bantu peniaga kecil Merlimau tingkat pendapatan.

BANTU PENIAGA KECIL

Bagi membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil di DUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal mengambil inisiatif mewujudkan Merlimau Night Market di Bandar Baru Merlimau Utara sejak Ramadan yang lalu.

“Tujuan asal kita wujudkan ‘night market’ ini untuk mengajak orang ramai berkumpul dan meriahkan kawasan ini, jadi kita beri peluang kepada seramai 75 peniaga untuk berniaga di tapak ini sekali gus menjana pendapatan harian.

“Night market ini dibuka pada setiap hari Jumaat sehingga Ahad, sebelum ini kita tak tahu macam mana nak majukan peniaga di Merlimau, jadi apabila ada aktiviti sebegini kita nampak orang ramai berminat datang ke sini.

“Kalau tidak sediakan tempat menarik orang akan keluar dari Merlimau untuk bersantai, tetapi sekarang tidak perlu pergi jauh untuk bawa keluarga pada hujung minggu,” katanya.

TARIK MINAT BELIA

Dalam aspek menjaga minat golongan belia, Dr Muhamad Akmal bakal membina sebuah taman ekstrem pertama di Melaka iaitu Merlimau Skate Park khusus untuk golongan belia yang berminat dalam sukan papan selaju.

“Alhamdulillah kita mendapat peruntukan sebanyak RM300,000 untuk membuat ‘skate park’ ini, insya-Allah kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan November ini dan dijangka siap pada Mac 2023.

“Selepas ini semua penggemar skate boleh datang ke sini, saya mahu pastikan mereka lebih selamat dan selesa untuk bermain sukan ini kerana sebelum ini tiada tempat khusus untuk mereka,” katanya.

4
ANAK muda yang meminati sukan ekstrem papan selaju boleh melakukan aktiviti tersebut di Merlimau Skatepark yang dijangka siap Mac tahun depan.

MERLIMAU DRAGSTRIP JADI MODEL

Hasrat menjadikan sektor pelancongan sukan permotoran menerusi litar, Drag Race di DUN Merlimau terlaksana apabila Kawasan Perindustrian Merlimau mula dimajukan dengan pengisian sukan itu sejak 28 Februari lalu.

Ujar Dr Akmal, pembinaan trek sejauh 750 meter itu sekali gus menjadikan Melaka negeri kedua yang mempunyai trek terbesar bagi sukan permotoran tersebut dengan kos pembinaan hampir RM1.2 juta.

“Setiap kali ada acara bukan sahaja orang Melaka yang datang, malah pengunjung dari Singapura, Thailand dan ramai lagi ke sini sekali gus memperkenalkan Negeri Melaka dalam sukan ini.

“Jika bercakap tentang ‘drag race’ Merlimau sudah pasti ramai yang tahu, sehinggakan setiap kali ada ‘event’ semua rumah inap desa dipenuhi dengan pengunjung.

“Alhamdulillah Merlimau Dragstrip ini diiktiraf oleh Perdana Menteri kita dan ia akan dijadikan model kepada negeri-negeri lain untuk membina trek yang sama,” katanya,

Katanya biarpun trek itu tidak besar, namun dengan kos yang rendah ia masih mampu menarik pengunjung dari serata dunia datang ke Melaka.

“Orang pergi ke Melaka nak cari ‘Dragstrip’ yang besar boleh datang ke Merlimau, segala fasiliti telah disiapkan termasuklah tandas,” katanya lagi.

BIODATA

Nama: Dr Muhamad Akmal Saleh
Umur: 34

Karier:-
– Exco Kesihatan dan Anti Dadah (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau (2018 – kini)
– Doktor Perubatan

Pendidikan:-
– Ijazah Perubatan Russian State Medical University

Politik:-
– Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka (2018 – kini)
– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jasin (2018 – kini)

INFO DUN MERLIMAU

Jumlah pengundi : 18,412

Kampung : 10
Taman Perumahan : 22

Rumah Ibadat:-
Masjid: 5
Surau: 21
Tokong: 4
Kuil: 4
Gereja: 2

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 5
Sekolah Menengah: 3
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 2
Sekolah Rendah Agama JAIM: 4
Sekolah Pendidikan Khas: 1

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2130
Kongsi :
Previous post CAAM terima maklumat kemalangan udara babitkan sebuah helikopter di Cameron Highlands
Next post Barangan keperluan murah di DUN Rim setiap minggu
Ubah saiz-+=