Sorting by

×

Transformasi Parlimen perlu ada perincian menyeluruh- Adly

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 13 Sept – Pakatan Harapan (PH) perlu mengkaji dan menilai tawaran Transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan sebagai satu penyelesaian kepada kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara akibat COVID-19.

Ketua Pembangkang negeri, Adly Zahari berkata, dalam tawaran itu kerajaan perlu perincikan transformasi berkenaan dalam usaha menstabilkan kestabilan politik negara.

“Seperti pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti ia merupakan paling asas kerana ketidakstabilan politik kita menjadi punca kepada perkara yang berlaku sebelum ini.

“Memang wajar ia dirangka, namun perlaksanaan dan cara untuk memuktamadkan perkara ini perlu beberapa perincian menyeluruh.

“Jika berlaku ketidakstabilan politik dan jika ia masih berulang lagi akan menyerlahkan imej tidak baik dalam sistem demokrasi Malaysia, malah yang paling buruk adalah mandat rakyat itu diketepikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu katanya, tawaran meletakkan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) juga perlu bersesuaian dengan hanya menempatkan golongan pakar dalam wadah terbabit agar semua pandangan jelas akan diambil kira dalam usaha memulihkan negara.

Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, hanya pakar yang terdapat dalam kerajaan dan pembangkang sahaja perlu duduk bersama menangani beberapa kekeliruan dalam menyelesaikan isu berkaitan penularan COVID-19.

“Ia mesti ada jalan yang jelas seperti mana kita lihat prosedur operasi standard (SOP) kita berubah-ubah, akhirnya membuatkan rakyat keliru.

“Malah pelbagai isu lain juga perlu diselesaikan termasuklah isu vaksinasi dan mendepani golongan antivaksin ini.

“Kesemua perkara asas ini termasuk SOP perlu dilaksanakan dengan betul, mereka perlu duduk bersama bincang untuk pulihkan perkara ini,” katanya.

Tambah Adly, perlaksanaan undi 18 adalah perkara wajar dan perlu diterus dan dilaksanakan setelah sebelum ini pernah diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kita perlu buka peluang ini kerana inilah cara untuk kita beri peluang kepada anak muda untuk bersama mengambil berat dalam kepimpinan negara kita,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini menawarkan tujuh transformasi berkenaan bertujuan mewujudkan landskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post 10 tahun tanpa jemu ceriakan sambutan merdeka
Next post Alor Gajah perlu tarikan pelancongan baharu, gamit pengunjung
Ubah saiz-+=