TUAH Care Food@Campus beri manfaat kepada 1,500 pelajar UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 28 September – Inisiatif pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan kupon makanan harian TUAH Care Food@Campus memberi faedah kepada 1,500 penuntut universiti itu.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin, inisiatif itu adalah selaras aspirasi kerajaan dalam membela kebajikan para pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan.

Katanya, UTeM amat cakna dengan kebajikan setiap pelajarnya dan sudah menjalankan pelbagai inisitif memberikan impak kepada penerima.

“Contoh menerusi Program Anak Emas UTeM, selain membiayai yuran pembelajaran, kita juga menyediakan wang sara hidup diharap dapat membantu meringankan perbelanjaan pelajar terbabit.

“Malah kita menyediakan program pembangunan sahsiah pelajar yang lengkap termasuk hingga mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program KPT Prihatin TUAH UTeM Sejahtera bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, di sini, 22 September lalu.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, pihakya telah melaksanakan pelbagai inisiatif murni memberi manfaat kepada kesejahteraan pelajar khususnya mereka yang tergolong dalam kelompok B40.

Beliau berkata, melalui program Menu Keluarga UTeM dan Menu Keluarga Malaysia, pelajar dapat menikmati menu makanan berkhasiat serta berkualiti pada harga yang murah.

“Masing-masing RM3.00 dan RM3.50, sekali gus menyokong usaha bagi mewujudkan kesejahteraan terhadap pelajar universiti ini,” katanya.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menerima sijil kelulusan Pendaftaran Universiti Melaka (UniMEL) daripada Menteri Pengajian Tinggi.

Selain itu pada majlis sama Noraini turut menyampaikan 50 buah peranti kepada penerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia sekitar Negeri Melaka, sumbangan akaun simpan SSPN Prime tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka serta pelancaran Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2281
Kongsi :
Previous post MyKPA bantu pengurusan air secara sistematik
Next post Orang Asli Pos Bihai berhati-hati kerap jumpa kesan tapak kaki harimau
Ubah saiz-+=