MyKPA bantu pengurusan air secara sistematik

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT KATIL 28 September – Indeks Penandaarasan Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (MyKPA) dilancarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dilihat mampu membantu pesawah serta petani dalam pengurusan air secara sistematik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, MyKPA dibangunkan Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian bukan sahaja akan membimbing 503 kumpulan pengguna air (KPA) sebaliknya juga akan membabitkan pesawah serta petani.

Katanya, walaupun MyKPA dijangka akan mengambil masa antara tiga hingga 10 tahun sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya namun pada permulaan ia akan menjadi garis panduan kepada KPA.

“Melalui MyKPA ini kita hendak supaya petani didedahkan tentang pengurusan air yang terbaik. Bukan sahaja cara menguruskan air ke kawasan pertanian tetapi juga cara melepaskan air keluar, bagaimana hendak lepaskan air selepas digunakan. Melalui ini pengurusan air secara tersusun dapat diketahui.

“Malah melalui ini juga kita mampu setanding dengan negara luar yang lebih maju. Selepas ini petani dan pesawah seluruh negara akan menghala ke matlamat yang sama dan mengikut garis panduan pengurusan air ditetapkan oleh MyKPA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) 2022 di Bukit Katil, di sini, hari ini.

Menurutnya, melalui MyKPA juga ia akan mengukur dan menilai prestasi KPA seluruh negara berdasarkan kriteria pemarkahan dibangunkan dengan memfokuskan kepada aspek Penginstitusian, Pengurusan Air, Pengurusan Kewangan dan Model Pertanian.

“Malah selepas ini kita tidak lagi terbabit secara terus dalam pengurusan pengagihan air kerana kita hanya akan menguruskan air daripada punca utama sahaja contohnya dari sungai ke tali air untuk masuk ke sistem saliran pertama dan kedua sahaja.

“Selain kadar penggunaan air juga dapat dibuat dengan tepat tanpa ada pembaziran kerana KPA akan mengurus sumber air dan kemudahan sistem pengairan dan saliran di skim dibuat secara sistematik serta bersepadu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1849
Kongsi :
Previous post Tiada kanak-kanak diculik di Bukit Rambai
Next post TUAH Care Food@Campus beri manfaat kepada 1,500 pelajar UTeM
Ubah saiz-+=