Tuah menang Axia selepas beli baju raya mak ayah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KLEBANG 9 April – Berkat membelikan baju raya buat ibu dan bapa, seorang ejen insurans berjaya membawa pulang sebuah Perodua Axia pada cabutan bertuah Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 di Dataran Klebang.

Norshaidatul Akma Borhan, 37, tidak menyangka namanya akan terpilih dalam kalangan ratusan ribu pengunjung untuk membawa pulang hadiah utama berkenaan.

Anak kedua dari empat beradik itu berkata, hadiah berkenaan disifatkan sebagai tuah menjelang raya memandangkan sebelum ini dia pernah memenangi sebarang cabutan bertuah.

“Pada mulanya saya malas mahu mengisi butiran diri pada tiket cabutan bertuah tetapi atas desakan rakan saya isi juga dan masukkan ke dalam tabung yang disediakan.

“Saya langsung tak fikir nak menang atau letak harapan tinggi, namun mungkin sudah rezeki saya kali ini.

“Mungkin juga ini berkat saya berbelanja untuk membeli baju raya buat mak dan abah di sini dua minggu lalu,” katanya yang menetap di Kampung Pengkalan Batu.

Terdahulu, Norshaidatul Akma menerima hadiah berkenaan yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Malam Kemuncak Glam Bazar Ramadan Klebang Tahun 2024.

Menurut wanita itu, dia berbelanja hampir RM500 bagi membeli pakaian raya untuk dirinya dan ibu bapa kira-kira seminggu yang lalu dan layak menerima lima kupon cabutan bertuah.

Dia yang masih bujang tidak bercadang untuk menjual kereta yang dimenanginya walaupun sudah mempunyai kereta sendiri.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri paling bermakna buat saya rezeki datang bergolek,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post Ayam pencen jadi pilihan di Aidilfitri
Next post MPJ didik masyarakat cara pengurusan sisa
Ubah saiz-+=