Ayam pencen jadi pilihan di Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JASIN 9 April – “Biasanya dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri saya akan menjual lebih 300 ekor ayam pencen (ayam tua) kerana permintaan pelanggan sangat menggalakkan,” kata Zulnurain Abbas, 42.

Zulnurain berkata, perniagaan diusahakan sejak enam tahun lalu di Taman Kesang Damai itu semakin dikenali dan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Malah, ujarnya, bukan sahaja pelanggan dari Melaka, bahkan, pelanggan dari Negeri Sembilan dan Johor Bahru juga sanggup datang ke gerainya untuk membeli ayam pencen untuk dijadikan juadah.

“Seperti tahun sebelum ini saya menjual seekor ayam pencen dengan harga RM15, tetapi tahun ini lebih murah dengan harga RM13 seekor, alhamdulillah sambutan seperti biasa sangat menggalakkan.

“Biasanya dua atau tiga hari sebelum raya saya akan berniaga kerana waktu ini pelanggan sangat ramai dan tempahan juga boleh mencecah hingga 100 ekor bagi seorang pelanggan sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, berbeza dengan ayam biasa, ayam pencen mempunyai keunikan tersendiri kerana ia mempunyai aroma yang boleh membangkitkan selera.

“Ayam ini akan dibakar dalam beberapa minit supara aromanya lebih berbeza selepas masak selain rasanya yang lebih lembut dan sedap,” katanya.

Menurut bapa kepada enam anak itu, dia mula berniaga sebagai ikhtiar menambah pendapatan keluarga memandangkan isterinya menghidap penyakit buah pinggang.

“Alhamdulillah selama enam tahun berniaga ini pelanggan tidak putus-putus datang membeli di gerai saya dan terus memberi sokongan kepada kami sekeluarga,” kata.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post Tua, muda berganding bahu hias kampung sempena Aidilfitri
Next post Tuah menang Axia selepas beli baju raya mak ayah
Ubah saiz-+=