Tua, muda berganding bahu hias kampung sempena Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

MACHAP JAYA 8 April – Kesepakatan generasi muda dan tua dalam kalangan penduduk Felda Tun Ghafar, Hutan Percha di sini, membuahkan hasil apabila mereka berjaya menghias kawasan taman dipenuhi lampu berwarna-warni serta menjadi tarikan pelancongan.

Anak muda yang terdiri daripada generasi kedua dan ketiga bertungkus-lumus mencurah tenaga bagi memastikan Laman Cahaya Lebaran di Taman Selesa, Kampung Hutan Percha itu dipenuhi lampu berwarna-warni, selain diserikan dengan replika ketupat dan pelita gergasi.

Ketua Peneroka Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Mohd Yusoff Jambak berkata, meskipun hiasan laman cahaya sudah masuk tahun ketiga sempena perayaan Aidilfitri namun menariknya tahun ini ia membabitkan hasil kerja generasi muda.

Katanya, selain menyemarakkan kedatangan bulan Syawal, hiasan lampu warna-warni dibuat juga bagi menceria serta mencantikkan kawasan Felda terutamanya pada waktu malam.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, anak-anak muda ini tidak membuang masa dengan melakukan kerja yang tiada faedah. Bermula seminggu sebelum berpuasa setiap malam mereka akan berkumpul dan melakukan kerja-kerja untuk mengindahkan laman cahaya ini.

“Sebagai orang tua kita tidak membiarkan begitu sahaja sebaliknya bersama-sama dengan mereka berkongsi idea dan cadangan selain memberi semangat supaya apa yang dirancang dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui.

Mohd Yusoff berkata, meskipun Aidilfitri disambut oleh umat Islam namun masyarakat Cina dan India tidak ketinggalan bersama-sama turun padang menghias laman cahaya.

“Semangat muhibah antara kaum di sini masih terjalin rapi, kami bersama-sama turun padang dalam menjayakan setiap program atau aktiviti kerana apa yang dilakukan adalah untuk kampung kita.

“Walaupun mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak tenaga tetapi menerusi aktiviti seperti ini lah dapat mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat tolong menolong,” katanya.

Menurutnya, hiasan itu dibuat juga adalah untuk menyambut kepulangan anak rantau ke kampung halaman dengan suasana yang ceria dan penuh warna-warni.

“Seperti tahun sebelumnya anak rantau yang pulang ke kampung terkejut melihat pemandangan waktu malam yang indah malah hampir setiap malam kawasan laman cahaya ini dipenuhi orang.

“Selain itu orang luar dari kampung ini juga turut tidak melepaskan peluang datang ke sini bukan sahaja untuk bergambar malah membawa anak-anak kecil bermain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post Rebut peluang diskaun 80 peratus kompaun letak kereta sehingga 30 April
Next post Ayam pencen jadi pilihan di Aidilfitri
Ubah saiz-+=