Rebut peluang diskaun 80 peratus kompaun letak kereta sehingga 30 April

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 8 April – Orang ramai disaran merebut peluang keemasan melunaskan bayaran kompaun letak kereta membabitkan kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini sehingga 30 April depan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, tawaran itu diberikan sempena setahun pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Insentif Khas Sentuhan Aidilfitri.

“Insentif ini melibatkan implikasi kewangan lebih RM4 juta dan kita sangat menggalakkan orang ramai untuk merebut peluang keemasan ini bagi menyelesaikan kompaun mereka dari tahun 2020 hingga 2023.

“Selain itu, turut diumumkan parkir percuma selama seminggu bermula 10 hingga 16 April membabitkan kesemua PBT di Melaka dengan implikasi kewangan RM400,000.

“Semua insentif yang diumumkan ini bukan sahaja membantu rakyat Melaka, bahkan berupaya menggalakkan lagi sektor pelancongan negeri. Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di atas keprihatinan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput 2024M/1445H di Dewan MBMB Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, di sini, hari ini.

Rais bagaimanapun menasihati orang ramai agar meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan dan bukannya di tempat tidak sepatutnya sehingga mengganggu lalu lintas atau membahayakan pengguna jalan raya.

“Manfaatkanlah insentif parkir percuma ini dengan parkir di kawasan yang betul dan apa yang penting, pastikan keselamatan diri dan orang ramai.

“Selain itu, saya juga meminta agar orang ramai menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata sehingga mencemarkan imej Melaka sebagai negeri pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
Kongsi :
Previous post Aura TMM2024 bantu peniaga bazar di Melaka
Next post Tua, muda berganding bahu hias kampung sempena Aidilfitri
Ubah saiz-+=