Aura TMM2024 bantu peniaga bazar di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 8 April – Kemeriahan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, bahkan turut memberi tempias kepada peniaga di bazar Ramadan negeri ini.

Hal itu diakui peniaga baju melayu dan kurta di Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 Nurfri Zairee Novemberlis, 29, yang mengakui jualannya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sejak dibuka pada 1 Ramadan lalu.

Menurutnya, walaupun bertapak di Kuala Lumpur, namun dia sanggup mengembara membawa produknya ke bumi Melaka kerana yakin aura TMM2024 bakal memberi limpahan rezeki untuknya.

“Ini terbukti kerana kita dapat melihat suasana di Melaka lebih meriah berbanding di luar sana. Alhamdulillah sejak awal lagi orang Melaka dan luar Melaka yang datang ke bazar ini memang berminat dengan apa yang kami tawarkan.

“Walaupun ada yang mengatakan pengguna kita beralih kepada platform e-dagang untuk membeli persiapan raya, namun bagi saya ia tidak berlaku di sini memandangkan sambutan yang kita terima benar-benar luar biasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di bazar berkenaan.

Tambah Nurfri Zairee, dalam menarik pengunjung ke gerainya, beberapa pendekatan diambil antaranya melalui jeritan dari atas tangga selain turut memberikan promosi istimewa kepada pelanggan bertuah.

“Seeprti tahun ini, kita memberikan promosi sehelai baju melayu cekak musang berkualiti tinggi dengan harga serendah RM50 bagi 10 pengunjung terawal. Namun promosi itu hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu dan alhamdulillah ia dapat menarik kehadiran orang ramai,” katanya.

Photo1712528275
YUSMALAILA

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Yusmalaila Yusof, 36, turut menerima limpahan rezeki apabila jualannya mendapat sambutan hangat pada tahun ini.

Dia yang menjual pakaian dan aksesori wanita di bawah jenama sendiri bersyukur kerana bazar berkenaan tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang mahu membeli kelengkapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Mungkin juga ini berkat sambutan TMM2024 kerana ia sangat membantu peniaga khususnya mereka yang berniaga di bazar-bazar Ramadan.

“Saya sangat puas hati terutamanya pada akhir-akhir Ramadan ini apabila gerai kami tidak putus-putus diserbu orang ramai,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

68
Kongsi :
Previous post Belanja daging bantu golongan memerlukan
Next post Rebut peluang diskaun 80 peratus kompaun letak kereta sehingga 30 April
Ubah saiz-+=