Sorting by

×

Tuah ‘Sambal Lado Minang’ PKP

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH, 12 Sept – Keinginan menebal menambah sumber pendapatan, telah menjadi pendorong kepada anak muda, Wan Ahmad Afiq Noordin, 29, terlibat dalam perniagaan Sambal Lado Minang.

Memulakan perniagaan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ternyata bukan satu cabaran yang mudah buat Wan Ahmad Afiq, ditambah pula jumlah harian kes positif COVID-19 yang serba tidak menentu.

Berdaftar di bawah perniagaan Epic Store, Wan Ahmad Afiq berkata idea itu lahir apabila melihat pendapatan yang semakin mencabar dalam waktu pandemik ini.

Nekad memulakan perniagaan sambal itu pada Jun 2020, katanya ia adalah sebagai langkah insiatif untuk menambah pendapatan dan membantu ahli keluarga yang lain.

“Kakak ipar saya memang berasal dari Indonesia dan ini adalah resepi dia, pada awalnya dia yang masak tetapi kerana halangan rentas negeri, maka penjualan sambal ini terhenti seketika.

“Kemudian saya buat keputusan untuk masak sendiri dan mula jual semula pada Mac 2021 sehingga sekarang. Kedai pertama yang ambil produk saya adalah Elzan Retails di Masjid Tanah pada Mei 2021, tapi jodoh tak berpanjangan sebab pemilik kedai itu meninggal dunia.

“Terbaru yang ambil produk saya adalah Hasani Mart di Sungai Petani Kedah dan selepas ini adalah Pasar Mini Esah Haniff yang punyai sembilan cawangan di Melaka,” katanya kepada MHI.

Jelasnya sehingga kini dia mempunyai 30 ejen di seluruh Malaysia dan ingin mencari lebih ramai lagi untuk menjadi ejen.

“Impian saya nak jadi seperti Itthipat Peeradechapan, seorang usahawan Keropok Rumpai Laut ‘Tao Kae Noi’ yang mana dia juga bermula dengan hanya memasak produknya di belakang rumah sama seperti saya.

“Akhirnya produk dia sekarang berada di francais Kedai Serbaneka 7-Eleven serata dunia.

“Jadi perkara pertama saya buat adalah mendapatkan fakta nutrisi pemakanan sambal lado minang ini dari Perbadanan Bioteknologi Melaka,” katanya.

Katanya lagi pada awal perniagaan dia menghasilkan sebanyak 120 botol sambal lado dan pernah mendapat jualan sehingga 250 botol seminggu.

“Saya sasar jual 500 botol seminggu, harga sebotol sambal lado dari RM15.90 dan ada dua jenis sambal iaitu sambal lado minang cili merah (lebih pedas) dan sambal lado minang cili hijau.

“Untuk 60 botol sambal ambil masa lima jam untuk masak dengan api yang kecil dan perlu dikacau sepanjang masa bagi memastikan cili betul-betul masak dan tidak hangit,” katanya.

Tambahnya lagi, segala peralatan memasak sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi menjaga kualiti sambal lado

“Sekarang saya sedang tunggu mesin pengacau sambal automatik dan mesin pengisar tahan lasak yang telah ditempah bagi memudahkan lagi kerja-kerja memasak sambal,” kata bapa kepada dua anak itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1462
Kongsi :
Previous post UTeM rangkul dua anugerah di NEA 2021
Next post Intipati sidang media khas Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin 
Ubah saiz-+=