UTeM rangkul dua anugerah di NEA 2021

0
566
UTeM turut memenangi Anugerah Khas (Institute of Higher Leaning) dan anugerah berkenaan disampaikan Menteri KetSA Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

MELAKA, 12 Sept – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukir kecemerlangan apabila merangkul dua anugerah pada National Energy Awards (NEA) 2021 anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar berkata UTeM memenangi kategori Pengurusan Tenaga (Energy Management in Large Building) dan Anugerah Khas (Institute of Higher Leaning) dan anugerah berkenaan disampaikan Menteri KetSA Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

“Pencapaian itu merupakan kejayaan berganda sekali gus membawa UTeM mewakil Malaysia ke ASEAN Energy Awards (AEA) 2021 yang akan dihoskan Brunei, bulan ini.

“Faktor kejayaan UTeM ini juga adalah adaptasi program Energy Management Gold Standard di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

NEA 2021 merupakan antara anugerah yang paling berprestij di Malaysia yang mengiktiraf pencapaian dan amalan terbaik institusi dan organisasi tempatan dalam memacu agenda tenaga lestari.

Ghazali berkata UTeM mempunyai keunikan tersendiri kerana pengurusan tertinggi dan segenap peringkat pelaksanaan pengurusan tenaga lestari mempamerkan komitmen yang jitu dan konsisten selama ini dalam pengurusan tenaga lestari.

“Ini juga kecemerlangan koordinasi di semua pejabat di bawah Pejabat Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) terutama pasukan Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) serta Pejabat Pengurusan Fasiliti (PPF) UTeM dan turut dibantu oleh Polis Bantuan dari Pejabat Keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata UTeM merupakan universiti pertama yang memenangi anugerah untuk kategori yang dipertandingkan sejak 2018 itu dan kejayaan berkenaan meletakkan UTeM di landasan yang terbaik bagi mencapai Objektif Strategik 6 iaitu Smart dan Dynamic Campus di dalam Seven Strategic Goals (SSG) UTeM.

Beliau berkata kejayaan itu turut memberi peluang kepada UTeM untuk meluaskan kerjasama strategik dengan organisasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa terutama penyelidikan bagi membantu dunia merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“UTeM turut menyerlahkan inovasi di setiap bangunan dan Pusat Tanggungjawab (PTj) dengan memperkenalkan konsep Matriks Pengurusan Tenaga-PTj (MaPTeP).

“Selain itu UTeM juga mempunyai sistem IoT Energy Monitoring serta Building Management System (BMS) untuk mengawal secara menyeluruh penggunaan tenaga yang optimal terutama kepada penggunaan sistem pendingin hawa yang lebih cekap dan ini membuktikan UTeM cemerlang menjalankan pengurusan tenaga yang lestari dalam membantu negara mengurangkan pengeluaran CO2 dan menjayakan National Energy Efficiency Action Plan (NEEAP:2016-2025),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.