Tuan tanah dikompaun RM50,000, jalan kerja tanah tanpa kebenaran PBT

Masa Membaca:58 Saat

BUKIT BARU 26 Mei – Gara-gara menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) seorang pemilik tanah dikompaun RM50,000 selepas melakukan aktiviti itu di Bukit Baru, semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, kerja-kerja tanpa kebenaran itu dikesan pihaknya setelah melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

Menurutnya, tindakan kompaun itu dikeluarkan pihaknya selepas mendapati kerja-kerja untuk memajukan tanah di lokasi itu tiada kebenaran dan telah memanggil pemilik tanah untuk tampil.

“Daripada maklumat diperoleh kerja-kerja itu dipercayai sudah dijalankan hampir seminggu lalu, malah ketika pemantauan dilaksanakan mendapati kerja tanah sedang berjalan.

“Daripada keterangan pemiliknya, kerja itu dilakukan tanpa kebenaran majlis dan susulan itu kompaun berjumlah RM50, 000 dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, ujarnya, tindakan terbabit dilaksanakan pihaknya sebagai tindakan awal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebenarnya sebelum sebarang kerja tanah dilakukan, kebenaran perlu diperoleh daripada pihak majlis sama ada untuk meratakan atau mengubah struktur tanah.

“Sekiranya lokasinya berada di cerun ia juga boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh sekiranya tindakan tidak dilakukan dengan betul,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post 935,865 individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam
Next post ‘Moga ada sinar buat adik Izz Rizqy’
Ubah saiz-+=