Tubuh Jawatankuasa Pengurusan Banjir segera – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER MOLEK 26 Feb- Kawasan yang kerap berlaku banjir disaran untuk mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir segera sebelum musim banjir Monsun Timur Laut, September depan.

EXCO Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata, usaha itu perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap agensi pasukan penyelamat.

Katanya, perkara itu juga sudah diusulkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini sebagai usaha membantu rakyat dan pasukan agensi penyelamat memberi bantuan segera kepada mangsa banjir.

“Saya sarankan semua 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka yang kerap berlaku banjir ini supaya wujudkan jawatankuasa pengurusan banjir sendiri untuk memberi bantuan awal kepada mangsa banjir sekiranya agensi penyelamat terlewat sampai disebabkan permintaan yang tinggi.

“Antara 12 DUN yang menjadi kawasan kerap banjir adalah Paya Rumput, Durian Tunggal, Gadek, Sungai Rambai dan Rim.

“Usaha ini penting kerana ahli masyarakat adalah orang paling dekat di setiap situasi banjir sementara menunggu bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ataupun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat serta Latihan Pengendalian Bot bagi Persiapan Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Sungai Duyong, Kampung Kandang di sini hari ini.

Hadir sama Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Abdillah Hamid.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, setakat ini hanya DUN Ayer Molek di bawah pimpinannya telah menubuhkan jawatankuasa berkenaan yang memiliki beberapa aset menyelamat selain turut dianggotai sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain disarankan mempunyai jawatankuasa berkenaan yang dilengkapi aset menyelamat seperti bot dan jaket keselamatan mewujudkan sukarelawan yang mendapat latihan teknik menyelamat juga penting untuk menggerakkan operasi membantu mangsa banjir.

“Sebab itu, selepas menubuhkan jawatankuasa berkenaan, semua 12 DUN ini perlu menganjurkan program taklimat serta latihan pengendalian bot dengan kerjasama JBPM ataupun APM kerana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post Gempa bumi sederhana landa Mindanao, Filipina
Next post Melaka terima RM4 juta pasang siren amaran banjir di 34 lokasi
Ubah saiz-+=