Melaka terima RM4 juta pasang siren amaran banjir di 34 lokasi

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MELAKA, 26 Feb – Kerajaan Melaka menerima peruntukan RM4 juta daripada kerajaan pusat untuk memasang siren amaran banjir di 34 lokasi berisiko di sekitar negeri itu bermula Januari lepas.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, 13 siren amaran banjir telah dipasang, manakala baki 21 lagi akan dipasang secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

Beliau berkata pemasangan siren itu dilakukan bagi memberi amaran awal kepada penduduk untuk bersiap sedia menghadapi banjir sekali gus membuat persiapan berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS).

“Siren amaran banjir berkenaan dipasang di kawasan penempatan berhampiran sungai dan ‘hotspot’ banjir terutama di kawasan rendah.

“Bunyi siren tersebut boleh didengari dalam lingkungan jarak dua kilometer dan antara kawasan yang telah dipasang sistem penggera itu ialah di Rumah Awam Ayer Molek,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat dan Latihan Pengendalian Bot serta Teknik Menyelamat Mangsa Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di sini, hari ini.

Taklimat dan latihan berkenaan dikendalikan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil melibatkan lebih 20 peserta termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di dalam DUN Ayer Molek serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan itu.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan jangka pendek secara berperingkat di 124 ‘hotspot’ banjir di negeri itu menerusi pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 80 kawasan telah selesai diambil tindakan membabitkan kerja-kerja pembaikan longkang atau saliran, mewujudkan pam air di kawasan taman perumahan, membersihkan kolam takungan air dan membina ban di beberapa sungai menerusi peruntukan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri yang berjumlah RM8 juta.

“Saya jangka semua projek atau kerja penambahbaikan jangka pendek di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dalam tahun ini agar kejadian banjir yang berulang dapat segera diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata setiap DUN di Melaka terutama yang mempunyai kawasan yang selalu dilanda banjir disarankan agar mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir DUN dan menyediakan kelengkapan menyelamat seperti bot dan jaket keselamatan, selain melatih sukarelawan melaksanakan bantuan awal sekiranya berlaku banjir.

Katanya berkata antara DUN yang dikenal pasti mempunyai kawasan berisiko banjir seperti Lubok China, Paya Rumput, Gadek, Sungai Rambai dan Rim.

“Banyak DUN belum mempunyai kelengkapan ini dan kita di peringkat negeri akan membantu menyediakan aset menyelamat seperti bot dan sebagainya,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Tubuh Jawatankuasa Pengurusan Banjir segera – EXCO
Next post PRN Johor: Proses penamaan calon terkawal – Polis
Ubah saiz-+=