Tubuh kumpulan pemikir tangani isu penderaan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 29 April – Kerajaan Negeri akan mewujudkan kumpulan pemikir (think tank) bagi menangani isu penderaan melibatkan wanita yang semakin berleluasa di negara ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, perkara itu akan menjadi keutamaan selepas Aidilfitri tahun ini.

Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan ialah mengenai tindakan drastik serta undang-undang yang boleh diambil kepada pelaku dalam mengelakkan isu sama terus menular.

“Sebenarnya, banyak program akan kita anjurkan selepas ini. Antara yang diberi perhatian ialah kita mahu pergi secara mendalam terhadap isu penderaan melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“Ini kerana kita melihat isu ini seolah-olah tiada penghujung dan terus berleluasa. Jadi perkara pertama akan saya lakukan ialah menubuhkan pasukan ‘think tank’ bagi menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai keadaan semasa remaja 16 tahun yang dirogol bapa tiri di Jasin, Kalsom memaklumkan, remaja berkenaan kini dalam keadaan selamat di suatu tempat yang tidak boleh didedahkan.

Katanya, emosi remaja berkenaan juga semakin baik walaupun pernah berdepan detik hitam tersebut.

“Ketika berbual dengan remaja itu, ia amat menyentuh hati saya. Dia memaklumkan mahu menjadi seorang pereka fesyen.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita akan cuba membantu sedaya yang boleh bagi membuka jalan kepadanya untuk melupakan detik hitam itu untuk meneruskan kehidupan dan mengejar cita-citanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1059
Kongsi :
Previous post Hujan tidak halang warga Rembia meriahkan rumah terbuka
Next post 11 kubur ‘hilang’ batu nisan
Ubah saiz-+=