Hujan tidak halang warga Rembia meriahkan rumah terbuka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

REMBIA 29 April – Hujan tidak menghalang warga Rembia untuk hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, dianjurkan di Japerun Rembia, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, meskipun dijadualkan bermula jam 2 petang, namun ada tetamu yang datang lebih awal.

“Tahun ini kami jangka 5,000 orang hadir untuk bersama-sama meraikan rumah terbuka, namun setakat jam 2.30 petang difahamkan 1,000 sudah datang.

“Bagi penganjuran kali ini selain rendang, ketupat dan sate, beberapa juadah lain seperti cucur udang serta kuah lodeh dihidangkan kepada tetamu yang hadir,” katanya ketika ditemui di Japerun Rembia, di sini.

Terdahulu turut hadir memeriahkan sambutan adalah mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama barisan Exco Kerajaan Negeri antaranya Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Ngwe Hee Sem negeri, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong.

Muhammad Jailani berkata, kehadiran tetamu tahun ini agak menurun berbanding 2022 dipercayai disebabkan fenomena cuaca panas selain ada dalam kalangan penduduk yang ditimpa musibah susulan kejadian ribut.

“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 100 laporan polis yang dibuat penduduk akibat kediaman rosak tetapi Japerun hanya menerima 59 sahaja.

“Justeru itu saya meminta mereka yang terjejas dengan bencana tampil ke Japerun. Kita amat berharap kediaman yang terjejas ini dapat dibaik pulih dengan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post Elak strok haba, Melaka sambut baik cadangan lanjut cuti sekolah – Exco
Next post Tubuh kumpulan pemikir tangani isu penderaan
Ubah saiz-+=