Elak strok haba, Melaka sambut baik cadangan lanjut cuti sekolah – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 29 April – Saranan melanjutkan cuti persekolahan susulan cuaca panas melampau sedang melanda negara ketika ini dianggap wajar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini menimpa murid atau pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka sama ada mahu melaksanakan cadangan terbabit atau sebaliknya.

“Buat masa ini kita masih menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Pendidikan dan kita akan mengikut apa saja yang disyorkan.

“Namun suka untuk saya sarankan kepada semua murid minum air masak yang mencukupi dan kurangkan aktiviti luar pada ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata pihaknya telah menetapkan semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan ketika ini sehingga cuaca kembali pulih seperti biasa.

“Bagi kawasan yang mempunyai Indeks Pencemaran Udara (IPU) kurang daripada 100, ia terserah kepada pihak sekolah untuk mengadakan kegiatan luar bilik darjah.

“Namun saya sarankan untuk membuat aktiviti di sebelah pagi sahaja dan saya harap perkara seperti strok haba dapat dielakkan dalam situasi ketika ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3870
Kongsi :
Previous post Melaka cadang bina Muzium Adat Perpatih
Next post Hujan tidak halang warga Rembia meriahkan rumah terbuka
Ubah saiz-+=