Melaka cadang bina Muzium Adat Perpatih

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TELOK MAS 29 April – Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan Muzium Adat Perpatih dalam mempelbagaikan lagi pelancongan berbentuk sejarah dan kebudayaan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, muzium itu dicadang akan dibangunkan di Alor Gajah memandangkan adat itu masih dipraktikkan di dalam daerah tersebut.

“Insya-Allah kita akan wujudkan satu lagi muzium iaitu Muzium Adat Perpatih kerana di Melaka kita ada Adat Temengong dan juga Adat Naning, oleh itu kita tidak boleh lupa Adat Perpatih ini kerana ia diamalkan di kebanyakan tempat di sebelah (daerah) Alor Gajah.

“Meskipun kita dalam mencari peruntukan, untuk saya, ia akn cuba direalisasikan yang mana cadangan lokasinya ialah di kawasan Alor Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, malam tadi.

Turut hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Bersama-sama meluangkan masa hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, barisan Exco Kerajaan Negeri dan juga ketua-ketua agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan pihaknya menyasarkan jualan tiket muzium-muzium di Negeri Melaka mencecah kutipan kira-kira RM4.1 juta sehingga hujung tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1520
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak empat tahun maut didera
Next post Elak strok haba, Melaka sambut baik cadangan lanjut cuti sekolah – Exco
Ubah saiz-+=