Tubuh pasukan khas selesai isu madrasah terbiar

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 19 September – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menubuhkan satu pasukan khas bagi membantu menyelesaikan isu dalaman Madrasah Ar-Rabbaniyah di Merlimau.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pasukan khas terbabit akan membantu menyelesaikan pertikaian melibatkan harta dan aset madrasah termasuk akaun yang dibekukan bernilai hampir RM8 juta.

Katanya, selepas pengerusi pusat pengajian terbabit meninggal dunia pada tahun 2018, segala aset tersebut telah diserahkan kepada pihak Pertubuhan Kitab Turah, namun disebabkan tiada pengisytiharan, aset-aset tersebut telah jatuh kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Pihak Insolvensi memaklumkan syarat kepada ahli persatuan, sekiranya aset tersebut mahu dituntut, 3/4 daripada jumlah keseluruhan 80 ahli perlu bersama-sama untuk menuntut aset terbabit.

“Pertikaian berlaku apabila ahli pertubuhan terbabit berpecah menjadi dua kumpulan dan masih gagal mencapai syarat yang ditetapkan.

“Di sini ingin saya tegaskan, kenyataan ini dibuat bagi menjernihkan suasana kerana isu ini tular hingga menyebabkan timbul pelbagai kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan madrasah yang dibangunkan dengan kos anggaran RM1.8 juta melalui sumbangan wakaf orang ramai terbiar hingga keadaan bersemak-samun.

Madrasah seluas 1.2 hektar yang terletak di Batu Gajah, Merlimau itu pernah menjadi pusat pengajian agama menempatkan kira-kira 200 pelajar dan dilengkapi dengan kemudahan lengkap, namun sudah lebih empat tahun tidak berpenghuni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post Jualan Agro Madani seluruh Melaka tawar beras 10kg RM26
Next post Perincian subsidi bersasar akan dibentang pada Belanjawan 2024 – PM
Ubah saiz-+=