
TUJUH PROJEK NAIK TARAF INFRASTRUKTUR KAMPUNG BUKIT KATONG
RIM 11 September – Penduduk Kampung Bukit Katong, Jasin bakal menikmati pelbagai kemudahan baharu apabila tujuh projek pembangunan dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat MADANI 2.0.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Nur Azlin Mohamad Awal berkata, projek itu merupakan hasil beberapa sesi libat urus antara pihak BHEUU, Japerun Rim dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi mengenal pasti keperluan mendesak penduduk.
“Daripada perbincangan ini, tujuh skop kerja telah dimuktamadkan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM935,000 bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
“Semua projek pembangunan akan dilaksanakan oleh pihak MPJ dengan kerjasama BHEUU dan Japerun Rim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Zamri Misman pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI 2.0 di Kampung Bukit Katong, di sini, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Kejuruteraan MPJ, Ir. Ts. Mohammad Hiriddin Hashim.
Nur Azlin berkata, tujuh projek pembangunan itu merangkumi pemasangan lampu jalan solar dari Jalan Rim (M27) hingga ke bulatan Felda Bukit Senggeh, pembinaan dewan terbuka baharu di Kampung Bukit Katong.
“Pembinaan bengkel kerja baharu di kawasan gelanggang gasing pangkah, Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, naik taraf Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Senggeh, naik taraf gelanggang futsal di Taman Jarim Jaya, Kampung Bukit Katong.
“Selain naik taraf jalan di Jalan Bunga Mawar, Kampung Bukit Katong dan kerja pemotongan pokok serta pembersihan kawasan sekitar kampung,” katanya.
Katanya, projek ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mempercepat akses kemudahan asas di kawasan luar bandar, termasuk jalan raya, air bersih, elektrik dan internet.
“Pendekatan ini bukan hanya memberi tumpuan kepada infrastruktur, tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dengan memanfaatkan keunikan komuniti di sini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.