Tun Mohd Ali rasmi Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung selama enam hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, membuka tirai secara rasminya, malam ini.

Lafaz perasmian kejuaraan edisi ke-19 itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Majlis itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) Datuk Seri Probowo Subianto dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Penasihat Kehormat PESAKA Datuk Seri Najib Razak; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria, Presiden PESAKA Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu, acara perasmian itu dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen ke dalam arena, di susuli ucapan Megat Zulkarnain selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk dan Pelaksana kejohanan.

Acara diteruskan dengan ucapan oleh Probowo sebelum Tun Mohd Ali menyempurnakan lafaz perasmian dan gimik pelancaran.

Perasmian itu turut dimeriahkan dengan persembahan dan perlawanan khas kepada tetamu yang hadir.

Untuk rekod, Kejuaraan Silat Dunia 2022 bakal menampilkan 500 pesilat dari 40 buah negara bagi merebut gelaran juara dunia.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan mereka ialah India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir dan Amerika Syarikat.

Untuk edisi kali ini, kem negara menyasarkan tujuh pingat emas daripada 36 pesilat dalam 32 acara yang disertai.

Cabaran negara akan diketuai juara dunia tiga kali Al Jufferi Jamari dan pemenang pingat perak Sukan SEA Hanoi Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1590
Kongsi :
Previous post Bayi lapan bulan maut disyaki didera, ibu ditahan
Next post Melaka bangkit semangat kepahlawanan Melayu
Ubah saiz-+=