TYT, Ketua Menteri kunjungi MAHA 2022

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SERDANG 9 Ogos – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam mengetuai delegasi Melaka melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), hari ini.

Terdahulu, ketibaan Mohd Ali di Pavilion Melaka sekitar jam 11.30 pagi tadi disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Turut menyambut ketibaan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Timbalan Speaker, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Delegasi Melaka turut disertai Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Adun Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis.

Hadir sama,Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Hairudin Yunos dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu, serta tetamu lain.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam hadir ke Pavilion Melaka MAHA 2022 di MAEPS Serdang. Turut bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Kunjungan delegasi di pameran itu disambut dengan demonstrasi Kelapa Lambung di pintu masuk Pavillion Melaka sebelum acara gimik penanaman anak pokok kelapa pandan dilaksanakan tetamu terlibat.

Terdapat 10 gerai pempamer di Pavilion Melaka mempamer dan menjual pelbagai produk hasil tangan usahawan negeri antaranya makanan, kraftangan dan produk kesihatan.

MAHA 2022 yang bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan berlangsung selama 11 hari bermula 4 hingga 14 Ogos depan menawarkan pelbagai produk dan pameran produk tempatan memberikan fokus kepada peluang perniagaan seperti Agro Trade iaitu membabitkan aktiviti perniagaan dan padanan perniagaan.

Sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan secara keseluruhannya disediakan mengikut segmen termasuk pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat, seminar dan konvensyen agromakanan selain pengoperasian laman-laman dan rumah negeri.

Views:

1790
Kongsi :
Previous post Op Kutip: Kontraktor warga Indonesia nekad terjun dari tingkat 4 rumah kedai
Next post Warga emas hilang, ditemui maut jatuh gaung di Mersing
Ubah saiz-+=