UMNO bertemu DAP malam sebelum penarikan sokongan- Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MASJID TANAH 6 Okt. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendedahkan parti itu ada membuat perbincangan bersama DAP bagi membina semula Melaka.

Beliau berkata, perbincangan itu diadakan pada malam sebelum hari pengumuman rasmi empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Isnin lalu.

Katanya, antara intipati perbincangan termasuk menjadikan parti pembangkang itu sebagai rakan strategik sebagaimana ditawarkan Sulaiman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu.

“Tawaran itu dibuat secara rasmi pada sidang DUN, jadi saya membentangkan kenapa perlu meruntuhkan kerajaan negeri dan bersama-sama ‘hope for the best’ (mengharapkan terbaik) untuk tidak menjejaskan kestabilan politik di negeri ini.

“Saya tahu gerakan yang berlaku, apa jua mesyuarat telah dibuat, saya juga dapat maklumat malah saya juga melihat akuan bersumpah yang telah ditulis meminta salah seorang bekas Ketua Menteri menjadi Ketua Menteri.

“Jadi dalam perbincangan tersebut, saya beritahu jangan rosakkan kerajaan negeri kerana kita berada dalam suasana pandemik yang baru masuk Fasa 3, rakyat baru hendak pulihkan kehidupan seperti biasa.

“Kenapa kita perlu gegarkan Melaka dengan gerakan serang hendap terancang dan saya berterus-terang memang ada perbincangan secara tidak rasmi malam sebelum kejadian (pengumuman rasmi tarik sokongan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas secara live di laman Facebook Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, hasil pertemuan itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh DAP Melaka.

“Saya cakap terus-terang, saya mewakili Barisan Nasional (BN) berunding dengan DAP dan menawarkan beberapa solusi, tetapi adalah malang kita melihat ia tidak diterima oleh pemimpin utama DAP negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post UMNO tidak pinggirkan Idris – Ab Rauf
Next post 15 bekas ADUN Melaka naik bas ke Istana Negara esok – Norhizam
Ubah saiz-+=