UMNO tidak pinggirkan Idris – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MASJID TANAH 6 Okt – UMNO Melaka tidak pernah meminggirkan Datuk Seri Utama Idris Haron ketika parti itu kembali menerajui pentadbiran Melaka sejak 19 bulan lalu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu menegaskan demikian ketika mengulas isu berkenaan yang didakwa mendorong bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Malah katanya, pimpinan tertinggi parti menjemput Idris untuk bersama-sama dalam struktur pentadbiran negeri membina semula Melaka.

“Soal dia dipinggirkan adalah satu perkara yang saya tidak nampak kita meminggirkan beliau dari sudut mana, tetapi beliau seharusnya berjiwa besar.

“Kekalahan UMNO dalam PRU-14 ada isu nasional dan ada isu domestik, namun kita tidak meminggirkan beliau, malah menjemputnya duduk bersama-sama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain untuk menguruskan kerajaan negeri,” katanya dalam wawancara khas secara live menerusi Facebook Sinar Harian, hari ini.

Menurut Ab Rauf, meskipun selepas dilantik menyertai barisan Exco kerajaan negeri, Idris didakwa tidak pernah melayan sebarang jemputan daripada Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Apabila berlaku pemilihan di peringkat bahagian yang mana beliau tewas untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian pada ketika itu menyebabkan ketidaksefahaman antara pimpinan bahagian beliau sendiri dengan ketua bahagian berlarutan.

“Ia sekali gus menyebabkan beliau merasa terpinggir kerana dalam kawasan beliau sendiri, beliau merasakan seolah-olah tidak dipedulikan.

“Bagi saya beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri seharusnya berjiwa pejuang, boleh duduk sama-sama melupakan sengketa untuk membina Melaka, namun apa yang berlaku sebaliknya, merampas secara serang hendap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post PPN, Bajet 2022 jadi teras pemulihan negara- Tengku Zafrul
Next post UMNO bertemu DAP malam sebelum penarikan sokongan- Ab Rauf
Ubah saiz-+=