‘UMNO dan PN tidak ada perselisihan faham’ – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 19 Okt – “Tidak timbul perselisihan malah, jalinan kerjasama politik bersama UMNO sebagaimana di peringkat pusat mampu dipraktikkan di negeri ini,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, buat masa ini belum ada mana-mana pemimpin PN yang mengumumkan perpecahan bersama mana-mana pemimpin parti lain di negara ini, meskipun keputusan untuk bersama UMNO belum dimuktamadkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Kerajaan pusat telah membuktikan bahawa kita boleh bekerjasama, bukan hanya di Melaka malah di peringkat pusat boleh bekerjasama, maknanya di seluruh negeri boleh melakukan perkara sama.

“Buat masa ini belum ada pemimpin daripada PN yang membuat pengumuman ada perpecahan dalam kalangan semua pemimpin di negara kita sama ada dari PN mahupun Barisan Nasional (BN).

“Kita hendak melihat negeri Melaka hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, kalau ada perpecahan atau perselisihan faham, semua itu boleh diselesaikan bersama sebelum PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, tiga Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen serta Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut, beliau berkata PN akan mengumumkan kerjasama bersama BN bagi menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat, kami akan umumkan bagaimana kerjasama yang akan diputuskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post Penganalisis politik hentikan spekulasi – Ahmad Zahid
Next post PAS main peranan penting dalam PRN Melaka – Ahmad Samsuri
Ubah saiz-+=