PAS main peranan penting dalam PRN Melaka – Ahmad Samsuri

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 19 Okt – PAS memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Jelasnya, parti itu memiliki peranan yang cukup penting dalam PRN kali ini, meskipun sebarang keputusan mengenai kerjasama politik belum dimuktamadkan.

Beliau bagaimanapun optimis untuk memastikan keputusan sama ada menjalin kerjasama bersama PN atau MN dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kedua-dua PN dan MN merupakan entiti yang penting dalam negara kerana masing-masing ada peranan yang perlu kita pertahan dan perkukuhkan.

“Memang sejak dari dulu lagi PAS sentiasa menekankan untuk memperkasa kedua-dua gabungan parti ini.

“Jadi tidak timbul soal kita meminggirkan mana-mana parti komponen dalam PN atau MN,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tiga Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen serta Datuk Dr. Radzi Md Jidin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS yakin kerjasama parti politik lain pada PRN mampu dicapai tanpa sebarang perbalahan mahupun perselisihan faham.

“PAS ada berbincang dan membuat penilaian untuk mencari titik persamaan kerana kalau matlamat itu kita tidak jumpa, sampai bila-bila (kerjasama) tidak boleh dicapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post ‘UMNO dan PN tidak ada perselisihan faham’ – Hamzah
Next post Srikandi Bersatu siap siaga hadapi PRN Melaka – Rina
Ubah saiz-+=