UMNO Jasin lulus usul sokong PM hingga 2023

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JASIN 18 Dis – Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jasin meluluskan sebulat suara usul menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

Ketua Bahagiannya, Datuk Wira Hasan Abd Rahman berkata perkara itu antara dua usul tergempar yang mendapat sokongan penuh daripada 271 perwakilan.

Jelasnya, dua usul tergempar itu telah dibacakan oleh Setiausaha Bahagian, Datuk Abdul Kalam Hassan dan telah mendapat sokongan dalam memastikan Ismail Sabri
melaksanakan agenda pemulihan negara berinteraksikan Keluarga Malaysia.

“UMNO Bahagian Jasin yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri wajar diberikan peluang sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

“Seluruh perwakilan memberi sokongan padu kepada segala usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri dalam gagasan Aspirasi Keluarga Malaysia khususnya untuk menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19 dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penangguhan mesyuarat perwakilan itu di Dewan MPJ Lipat Kajang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua, Datuk Roslan Ahmad; Naib Ketua, Datuk Zaidi Atan; Ketua Wanita, Datuk Zaleha Bujang; Ketua Pemuda, Dr. Mohamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, Hasan berkata berhubung pemilihan parti, seluruh perwakilan menyokong penuh agar ia diadakan selepas PRU-15 bagi memastikan kestabilan parti terpelihara.

Tambahnya, jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15 sudah pasti akan berlaku perpecahan dalamkalangan ahli parti dan akan mewujudkan banyak kem-kem hingga menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya nanti.

“Tidak ada siapa yang ingin melihat perpecahan dalam parti berlaku jika diadakan sebelum PRU-15.

“Tidak logik kita ingin melihat parti menjadi lemah hingga menjejaskan cpeluang menghadapi pilihan raya umum kelak,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post UMNO Masjid Tanah sedia gerak kerja dekati 16,000 pengundi baharu
Next post Melaka beri perhatian serius lokasi ‘hotspot’ banjir – KM
Ubah saiz-+=