Melaka beri perhatian serius lokasi ‘hotspot’ banjir – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Dis – Sebanyak lebih 20 lokasi panas (hotspot) banjir di negeri ini telah dikenal pasti dan akan diberi perhatian serius, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, lokasi-lokasi tersebut akan diberi keutamaan bagi menjalankan kerja-kerja segera dalam usaha mengatasi banjir yang kerap berlaku.

Selain itu, katanya satu kajian bebas banjir juga telah dijalankan dan akan dilaksanakan segera sebaik menerima peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Kita telah bermesyuarat yang telah memutuskan bahawa beberapa ‘hotspot’ banjir di negeri akan diberi keutamaan segera. Memanglah semua tempat juga penting, tetapi lokasi yang kerap dinaiki air akan diberi keutamaan terlebih dahulu yang mana kerangka-kerangka untuk menyalurkan air dan pengambilan tanah telah dikenal pasti.

“Insya-Allah beri kita sedikit masa lagi untuk kajian sebelum ini untuk kita implementasi setelah mendapat peruntukan terus dari pusat.

“Kepada rakyat Melaka, kerajaan negeri berjanji akan buat sebaik yang mungkin bagi mengatasi isu ini, cuma bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan peruntukan besar dan akan memakan sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi banjir di Lubok China, Sulaiman berkata pihaknya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.

Pada masa sama, katanya, kesemua perwakilan UMNO termasuk Pemuda dan Puteri akan digerakkan untuk membantu membersihkan rumah-rumah dan bangunan yang terjejas banjir.

Difahamkan, setakat jam 11 pagi tadi, satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang melibatkan 83 mangsa daripada 20 keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post UMNO Jasin lulus usul sokong PM hingga 2023
Next post Lebih 3,000 mangsa banjir di Selangor dipindah ke 30 PPS
Ubah saiz-+=