UMNO Sabah hantar jentera bantu PRN Melaka – Bung Moktar

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KOTA KINABALU 23 Okt. – UMNO Sabah akan menghantar jenteranya bagi membantu calon-calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata jentera yang diwakili Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO negeri itu akan berkampung di Melaka dalam tempoh berkempen dan menjelang pengundian.

“Kita akan menghantar jentera dan akan diletakkan pada satu kawasan daerah mengundi yang ditentukan kemudian yang merangkumi beberapa buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, jentera akan lebih banyak berkempen dari rumah ke rumah dalam kelompok kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu beliau meminta semua kepimpinan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk fokus kepada usaha memperkukuhkan parti melalui gerak kerja di bahagian masing-masing.

“Kita jangan fikir perkara lain, keutamaan kita adalah memperkukuhkan jentera parti, apabila parti kita kuat dan kukuh kita akan dihormati. Soal calon dan pemilihan parti ketepikan dahulu yang penting UMNO perlu kukuh dan berada di landasan yang betul untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum akan datang.

“Saya selalu tegaskan UMNO mempunyai struktur yang lengkap daripada Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta cawangan, apabila struktur ini dapat melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing, tidak ada sebab kenapa UMNO tidak dilihat sebagai sebuah parti berpengaruh,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

925
Kongsi :
Previous post PM tidak mahu amalan lantik kontraktor penyelamat terus berlaku
Next post UMNO Melaka 90 peratus sedia hadapi PRN
Ubah saiz-+=