UMNO Melaka 90 peratus sedia hadapi PRN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MASJID TANAH 23 Okt – UMNO Melaka sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan setiap gerak kerja jentera parti kini sedang diperkukuhkan di setiap peringkat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, segala persiapan menuju pilihan raya telah dilakukan dengan sebaiknya dan beliau optimis dengan sokongan rakyat terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Kesiap-siagaan kita telah pun sampai ke peringkat 90 peratus namun kita sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan diberikan oleh kerajaan nanti.

“Saya berpandangan mood rakyat pada waktu ini sudah tentu bersama dengan UMNO dan BN,” katanya selepas melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Villa D’Acqua dekat Kampung Pulau.

Ab Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, Wanita UMNO merupakan tulang belakang parti dan memainkan peranan utama dalam membantu parti menghadapi PRN negeri tidak lama lagi.

Katanya, peranan Wanita tidak boleh dinafikan malah merupakan penggerak utama dalam setiap gerak kerja yang diatur sekali gus membantu parti memenangi PRN negeri.

“Saya melihat peranan Wanita ini umpama jentera yang menjadi frontliners dalam pilihan raya negeri.

“Kesiap-siagaan Wanita telah diazamkan serta suntikan semangat telah dilakukan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini demi memastikan PRN ini menjadi kemenangan mutlak buat UMNO dan BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post UMNO Sabah hantar jentera bantu PRN Melaka – Bung Moktar
Next post Wanita UMNO fokus kembalikan keyakinan rakyat
Ubah saiz-+=