Wanita UMNO fokus kembalikan keyakinan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MASJID TANAH 23 Okt – Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad mengingatkan jentera Jalinan Rakyat (JR) parti itu agar menumpukan kepada usaha meningkatkan keyakinan rakyat kepada kewibawaan Barisan Nasional (BN) bagi melengkapkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri.

Menurut beliau, selain memfokuskan ke arah usaha itu, barisan jentera juga diingatkan supaya tidak alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Saya harapkan Wanita bekerja bersungguh-sungguh dengan penuh dedikasi dengan mengambil kira SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam meraih undi untuk mengembalikan keyakinan rakyat untuk menyokong BN di dalam PRN Melaka ini.

“Jadinya besarlah harapan saya untuk masing-masing dapat menumpukan penuh perhatian untuk memenangkan BN,” katanya selepas pelancaran Jentera JR PRN Melaka oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Latipah Omar.

Pada masa yang sama, Noraini mahu rakyat di negeri ini supaya bertindak bijak dengan memilih calon daripada BN berdasarkan rekod bersih dan imej cemerlang yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan parti itu.

“Saya harap pengundi di Melaka dapat melihat track record yang telah dilakukan oleh BN ketika mentadbir negeri ini.

“Berikan undi tersebut kepada BN, InsyaAllah kita akan melaksanakan dan mengatakan apa juga janji yang akan diberikan oleh BN Melaka,” katanya.

Terdahulu pada ucapannya pada majlis itu, Noraini meminta Wanita UMNO agar terus kukuh berjuang demi parti dan mengenepikan sebarang perbezaan yang mungkin membelenggu sesama mereka.

“Hari ini adalah hari yang sangat penting buat kita semua kerana pada hari ini kita kumpulkan semua kekuatan dimiliki.

“Ketepikan semua sengketa dan perbezaaan, kita satukan jiwa dan perasaan agar sepakat sepasukan demi memastikan kemenangan PRK ini tercapai.

“PRN ini kita harapkan kemenangan berpihak kepada rakyat di bawah panji UMNO dan BN, apa yang pasti kita yakinkan kepada rakyat bahawa UMNO ini adalah parti keramat yang kekal teguh membela mereka,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post UMNO Melaka 90 peratus sedia hadapi PRN
Next post Aura ‘Bossku’ tarik pengundi di PRN Melaka
Ubah saiz-+=