UNIMEL perkenal empat kursus TVET baharu tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Universiti Melaka (UNIMEL) bakal memperkenalkan empat kursus baharu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Naib Canselor UNIMEL, Prof.Datuk Dr.Mohd Taib Dora berkata kursus terbabit melibatkan Sijil Kejururawatan dan Perbidanan; Sijil Kulinari; Sijil Penyembelihan Halal dan Sijil Falak Syarie.

Katanya, dua daripada empat kursus terbabit iaitu Sijil Kejururawatan dan Perbidanan serta Sijil Kulinari merupakan program konvensional yang akan dibawa ke program TVET manakala dua kursus iaitu Sijil Penyembelihan Halal dan Sijil Falak Syarie merupakan kursus baharu.

“Bagi kursus baharu, seperti Sijil Penyembelihan Halal, telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan akan dilaksanakan pada tahun hadapan dengan kerjasama semua rumah penyembelihan yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Kursus ini mendapat permintaan yang tinggi dan bakal melahirkan tenaga kerja yang boleh dieksport ke luar negara seperti di Brazil, Taiwan, China dan negara-negara lain yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam penyembelihan halal.

“Kursus ini akan menjadi ‘trademark’ UNIMEL sebagai sebuah institusi yang melahirkan tenaga mahir diiktiraf dan diperakui,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Taib berkata bagi satu lagi kursus baharu Sijil Falak Syarie pula adalah kursus melibatkan ilmu astronomi dengan kerjasama MAIM dan Pusat Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara.

Jelasnya, kursus jangka pendek itu merupakan pendedahan kepada generasi baharu mengenai peranan dan kedudukan falak, bulan dan bintang serta lain-lain lagi.

“Sebagai contoh, selepas ini setiap kali menjelang Ramadan dan Hari Raya tidaklah kita hanya bergantung kepada satu pihak sahaja untuk menentukan tarikh.

“Bagi kursus ini, kita juga merancang untuk buat program dan latihan kepada pelajar sekolah kerana kita di Melaka mempunyai peralatan astronomi.

“Ini antara TVET yang kita cadangkan di peringkat UNIMEL pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1452
Kongsi :
Previous post Melaka bentang inisiatif tangani perubahan iklim di Dubai
Next post UNIMEL laksana inisiatif ‘tarik’ minat pelajar sambung pengajian
Ubah saiz-+=