UNIMEL laksana inisiatif ‘tarik’ minat pelajar sambung pengajian

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 5 Disember – Kekurangan kemasukan pelajar baharu di institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat sebagai trend semasa dan kekurangan minat pelajar dalam menuntut ilmu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata daripada kaji selidik yang dijalankan pihaknya mendapati generasi muda kini lebih memilih untuk bekerja dan meraih pendapatan sendiri.

Katanya, antara faktor lain yang dilihat adalah isu kurang minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi disebabkan tempoh belajar di IPT mengambil tempoh yang lama.

“Disebabkan faktor-faktor ini, Kerajaan Negeri menjalankan pelbagai inisiatif untuk menarik minat generasi muda menyambung pelajaran.

“Antaranya dengan menyediakan insentif RM1,000 kepada warga Melaka yang menyambung pengajian ke Universiti Melaka (UNIMEL) dalam pelbagai peringkat.

“UNIMEL juga menyediakan pelbagai kursus-kursus jangka pendek seterusnya memberikan peluang pekerjaan seiring dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengetengahkan program bersifat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan Naib Canselor UNIMEL, Prof.Datuk Dr.Mohd Taib Dora yang melihat isu terbabit merupakan trend semasa yang berlaku di semua IPT sama ada awam mahupun swasta.

Jelasnya, isu tersebut perlu di pandang serius oleh pihak kerajaan bagi menangani lambakan graduan yang tidak mendapat pekerjaan kerana berlaku pengecutan tenaga kerja di bidang tertentu.

“Faktor kurang masuk belajar ini adalah trend semasa, kebanyakan pelajar sekarang ini melihat arus pekerjaan lebih penting. Ramai berpendapat bahawa kos sara hidup yg tinggi menyebabkan lebih baik mereka bekerja dari sambung belajar.

“Sebab itu ramai ditawarkan belajar tapi tidak pergi (sambung pelajaran) dan kerajaan perlu melihat serta memikirkan peluang-peluang pekerjaan pada masa akan datang seterusnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1115
Kongsi :
Previous post UNIMEL perkenal empat kursus TVET baharu tahun hadapan
Next post ‘Bolehlah bantu baiki jaring’ – Nelayan
Ubah saiz-+=