Usaha tanah terbiar di Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ASAHAN 12 Januari – Tanah terbiar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang berpotensi akan dikenal pasti untuk dibangun dan dijadikan lokasi pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pembangunan tanah terbiar itu nanti bukan sahaja dapat membantu penduduk tetapi juga menjana ekonomi setempat.

“Saya sudah minta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jasin untuk mengeluarkan senarai tanah khususnya milik Persekutuan yang terbiar serta tidak diusahakan.

“Apabila sudah ada senarai berkenaan kita akan berbincang dengan tuan tanah untuk mohon mungkin Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk orang kampung bercucuk tanam menghasilkan produk pertanian,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke beberapa kawasan ternakan dan pertanian sekitar DUN Asahan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurutnya, usaha untuk mengusahakan kawasan tanah terbiar itu juga adalah untuk mengelak penduduk daripada merasa terganggu dengan keadaan semak samun.

“Dari dibiarkan semak samun dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk kampung lebih baik tanah terbiar ini diberikan kepada orang kampung untuk usahakan.

“Secara tidak langsung juga dapat menampung bekalan sumber pertanian di Melaka dan menjana ekonomi dalam kalangan penduduk,” katanya.

Jelasnya, MDEC juga bersedia membantu dan memberi bimbingan kepada petani serta penternak yang berpotensi dalam menghasilkan produk pertanian untuk dipasarkan secara meluas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1371
Kongsi :
Previous post Rombakan besar-besaran jabatan dan agensi Kerajaan Negeri
Next post Pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah
Ubah saiz-+=