Pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 12 Januari – Seorang pelajar tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bendahara maut, manakala rakannya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal, lori dan kereta di Jalan Air Baruk, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.22 pagi itu, Muhammad Syahmiasyraf Mohd Zaini, 14, yang membonceng motosikal Honda C100 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan, kaki dan tangan.

Manakala, penunggang motosikal yang juga pelajar tingkatan 4 sekolah yang sama mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan dan dihantar ke Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal sedang dalam perjalanan ke sekolah.

Katanya, ketika di lokasi, terdapat sebuah lori yang memperlahankan kenderaan berikutan terdapat sebuah van berhenti untuk masuk ke simpang.

Namun, katanya, motosikal dinaiki dua pelajar itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bucu kanan lori menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke lorong bertentangan.

“Pada masa sama, datang sebuah lagi kereta jenis Honda Civic yang dipandu guru berusia 36 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar pembonceng motosikal yang sedang dalam keadaan tercampak.

“Impak rempuhan itu menyebabkan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, sementara rakannya yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah.

“Manakala pemandu lori dan kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

56136
Kongsi :
Previous post Usaha tanah terbiar di Asahan
Next post Ibu bapa Danish terima sumbangan NADMA
Ubah saiz-+=