Sorting by

×

USAHA ‘YB ALONG’ AKHIRI DILEMA PENDUDUK KAMPUNG BUKIT ANTU

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

REMBIA 28 Mei – Dilema penduduk Kampung Bukit Antu, di sini, yang sering terputus hubungan apabila laluan keluar masuk dinaiki air setiap kali hujan bakal berakhir tidak lama lagi.

Ia selepas jambatan baharu bakal dibina di kawasan itu, sekali gus meleraikan masalah yang sering dihadapi.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sejak mengambil alih Japerun Rembia pada akhir tahun 2023, antara fokus utamanya adalah untuk memastikan kemudahan rakyat terus diberi perhatian.

Menurutnya, ia termasuklah melibatkan aspek keselamatan dan akses penduduk dalam memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

“Insya-Allah jambatan baharu ini akan siap dalam tempoh sebulan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap kebajikan rakyat serta pembangunan di setiap kawasan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) serta semua pihak yang bersama menjayakan usaha tersebut.

“Inilah lambang gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menterjemahkan usaha Kerajaan Negeri dalam membantu masyarakat dan penduduk yang dibelenggu masalah,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post POLITEKNIK MERLIMAU PERKUKUH TVET, TEROKA INDUSTRI TENAGA JANAKUASA