Usahawan daftar harta intelek masih kurang – Rosol

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 22 Ogos – Kerajaan menawarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 dalam usaha menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan memperuntukan sebanyak RM4 juta kepada dana berkenaan, bagi tempoh empat tahun bermula 2022 hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Katanya, setakat Jun lalu hanya 8,360 usahawan menghantar permohonan untuk berdaftar dibawah MyIPO dan jumlah itu dilihat masih lagi rendah.

“Kita harap usahawan kecil dan sederhana mendaftar produk mereka bagi memastikan Harta Intelek (IP) produk masing-masing dilindungi. Masih ramai usahawan di negara ini yang kurang sedar mengenai kepentingan berbuat demikian.

“Bayaran satu IP bagi setiap produk adalah RM900 tempoh untuk 10 tahun, jika mereka mendaftarkan produk jadi tidak perlu risau ada pertikaian sesama peniaga, hingga perlu diselesaikan di mahkamah.

“Usahawan perlu ambil peluang ini, daftar IP masing-masing dengan harta intelek, jika kawasan mereka tiada pejabat MyIPO boleh saja membuat pendaftaran secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat ke-67 ASEAN Working Group on Intellectual Property Cooperation (AWGIPC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar; Ketua Pengarah MyIPO Filipina merangkap Pengerusi AWGIPC, Rowel S. Barba ; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Zulkarnain Muhammad dan lain-lain kenamaan.

Katanya, menerusi mesyuarat itu Malaysia sentiasa mengiktiraf peranan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan rantau ASEAN.

“Seperti mana-mana negara anggota ASEAN yang lain, Malaysia juga komited membantu PKS dalam memperkembangkan perniagaan mereka ke pasaran serantau atau global, pada masa sama memastikan harta intelek mereka dilindungi.

“AWGIPC mengadakan mesyuarat tiga kali setahun mengikut giliran di setiap negara anggota ASEAN. Tahun ini Malaysia dipilih sebagai tuan rumah berdasarkan giliran dipersetujui semua negara anggota ASEAN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2041
Kongsi :
Previous post Pemuda nyaris dihempap pokok tumbang
Next post Penetapan harga minyak masak domestik, eksport dua minggu lagi – Rosol
Ubah saiz-+=