Pemuda nyaris dihempap pokok tumbang
TABOH NANING 22 Ogos – Seorang pemuda terselamat selepas rumah pusaka didiaminya musnah dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Taboh Naning, di sini, jam 5 petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin berkata, kejadian menyebabkan bahagian dapur, ruang tamu dan dua bilik rumah berkenaan mengalami kerosakan yang serius.
“Difahamkan pokok berkenaan tumbang ketika kawasan ini dilanda tiupan angin kencang, namun penghuninya ketika itu difahamkan berada di luar rumah dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Akibat kejadian pemilik kediaman mengalami kerugian yang dianggarkan RM20,000 dan kami akan membantu menguruskan permohonan mendapatkan bantuan untuk membaik pulih semula rumah berkenaan,” katanya.
Zulkiflee berkata, setakat ini pegawai daripada Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah sudah turun padang untuk menilai kerosakan dan menimbangkan jenis bantuan yang bakal disalurkan.
Selain itu, pihaknya juga sudah berhubung dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi mendapatkan peruntukkan membaiki kediaman berkenaan.
“Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Japerun juga sudah melawat mangsa, sementara itu sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu membersihkan pokok tumbang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.