UTeM-KTMB kongsi kepakaran perkhidmatan rel

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memperkasa penerokaan bidang penyelidikan dan inovasi dalam perkhidmatan rel di negara ini.

Kerjasama strategik bertujuan untuk memperkukuh, mempromosi dan membangunkan penyelidikan khusus dalam ‘Rolling Stock Dynamics’ untuk keselesaan penumpang kereta api.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr. Ts. Massila Kamalrudin berkata, kerjasama itu bakal membuka peluang lebih luas membabitkan perkongsian pintar menerusi geran penyelidikan, penyeliaan pelajar dan penerbitan, program mobiliti pelajar prasiswazah serta pasca siswazah.

“UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus mengorak langkah ke hadapan memperkasakan penerokaan bidang penyelidikan dan inovasi.

“Ini termasuklah dalam aspek perkongsian kepakaran dimiliki kami bersama KTMB demi kemaslahatan sejagat, ia dapat memupuk kerjasama akademia dan industri dalam memperkukuh, menggalakkan serta membangunkan penyelidikan bidang kejuruteraan.

“Ia merujuk kepada jaminan dan pemantauan integriti sistem pantograf, penambahbaikan sistem operasi pantograf serta overheadline (OHL) selain perkongsian ilmu mengenai subjek perkeratapian secara umum,” katanya.

Pertukaran MoU antara UTeM dan KTMB disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Canselor UTeM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu UTeM diwakili oleh Dr. Massila manakala KTMB pula oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Sementara itu, Mohd Rani berkata, KTMB sentiasa mengalu-alukan kolaborasi perkongsian kepakaran dan penyelidikan bagi tujuan pembangunan selain mewujudkan kerjasama mampan kedua-dua pihak dalam bidang teknologi rel pada masa kini.

“Kerjasama ini akan memberi ruang kepada KTMB dan UTeM untuk mewujudkan program inovatif yang boleh diguna pakai dalam memacu kemajuan industri keretapi.

“Melalui MoU ini juga kedua-dua pihak bakal melahirkan graduan atau pekerja berkemahiran tinggi dan yang bersedia untuk industri rel di samping kakitangan berkemahiran dalam sektor perkhidmatan pembangunan pengangkutan rel,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3462
Kongsi :
Previous post UTeM peruntuk biasiswa kesidang RM10 juta untuk pelajar tempatan dan negara bergolak
Next post Promosi teknologi nuklear buang stigma negatif
Ubah saiz-+=