Sorting by

×

Promosi teknologi nuklear buang stigma negatif

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Manfaat teknologi nuklear dalam bidang perubatan, pertanian, alam sekitar dan pembuatan akan terus dipromosikan serta diperluaskan demi faedah kepada manusia sejagat.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan berkata sebagai peneraju kepada pembangunan sains dan teknologi nuklear, pihaknya mahu membantu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat menjadi lebih baik menggunakan kepakaran dimiliki dalam kedua-dua bidang itu.

Katanya, usaha itu juga bertujuan untuk menangkis dan mengubah persepsi negatif orang ramai berhubung nuklear yang kerap dikaitan dengan senjata pemusnah serta perkara yang tidak baik.

“Kami mempromosikan penggunaan teknologi nuklear ini seiring dengan usaha mengubah stigma masyarakat menerusi N.U.R (Nuklear Untuk Rakyat). Contoh di Melaka pelbagai bentuk perkhidmatan dan sumbangan Nuklear Malaysia sudah memberikan manfaat kepada rakyat.

“Antara yang dilaksanakan adalah menjalankan kajian dalam menentukan potensi air tanah seperti di Zoo Melaka, ladang ternakan ayam di Masjid Tanah dan kajian air resapan di Empangan Durian Tunggal.

“Selain itu kami terlibat dalam kajian awal projek penyelidikan terowong bawah tanah di Bukit Melaka dikategorikan dalam Inisiatif Ekonomi Teknologi Tinggi Sentuhan Rendah, (High-tech, Low Touch (HTLT) Economy) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula tahun 2021 sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Promosi Bersasar (Technology Preview and Showcase- TPS) Siri 3 dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Rosli berkata, Agensi Nuklear Malaysia turut bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam mengukuhkan kawasan pantai dengan menggunakan produk ‘Riverprotec’.

Selain itu, pihaknya turut membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengesan kedudukan rangka tentera Australia dan New Zealand yang dikebumikan di Kem Terendak dengan lebih tepat.

“Daripada segi komunikasi pula, kami bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menyediakan garis panduan pembangunan infrastruktur telekomunikasi membabitkan menara telekomunikasi rangkaian gentian optik.

“Malah kami juga terlibat dalam kerjasama pemindahan teknologi, kepakaran pemantauan dan penilaian frekeunsi radio untuk struktur pemancar telekomunikasi di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post UTeM-KTMB kongsi kepakaran perkhidmatan rel
Next post Tawar kepakaran TVET berkaitan nuklear
Ubah saiz-+=