Van baharu untuk anak-anak istimewa

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SUNGAI UDANG 29 Januari – Senyuman terukir di raut wajah pelatih di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Murni, di sini, apabila pusat untuk anak-anak istimewa itu menerima sumbangan sebuah van penumpang ‘coaster’ baharu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, sumbangan itu diberikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka bagi kegunaan pengangkutan untuk pelatih di pusat berkenaan.

Menurut beliau, sebelum ini PPDK Seri Murni terpaksa mengharapkan ihsan kenderaan pihak tentera untuk mengambil dan menghantar pelatih pulang ke rumah.

“Anak-anak ini memerlukan kenderaan khusus untuk membawa mereka kerana ada masanya ada pelatih yang tidak dapat hadir ke PPDK apabila tentera menggunakan kenderaan mereka pada waktu tertentu.

“Jadi saya ada berbincang dengan Tun (Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam) kaedah bagaimana untuk membantu mereka di sini.

“Selepas setahun saya usahakan dengan pandangan daripada Tun Mohd Ali, syukur mereka berjaya mendapatkan sebuah van apabila TNB tampil untuk memberikan sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Van kepada PPDK Seri Murni, Kem Sungai Udang, di sini, pada Jumaat.

Majlis penyampaian sumbangan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd. Ali Mohd. Rustam

Dalam pada itu, Kalsom menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa agar tidak ‘menyorokkan’ anak-anak mereka di rumah.

Kata beliau, Negeri Melaka memiliki 17 PPDK yang berfungsi membantu orang kurang upaya (OKU) dilindungi dan hidup berdikari, selain didedahkan dengan ilmu dan terapi penting yang dapat membantu mereka menjalani kehidupan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1378
Kongsi :
Previous post Lelaki pukul warga emas berhampiran tapak ‘glamping’ ditahan
Next post ‘Cahaya merah’ warnai Jasin
Ubah saiz-+=