Lelaki pukul warga emas berhampiran tapak ‘glamping’ ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Januari – Seorang lelaki ditahan polis kerana dipercayai memukul wanita warga emas berusia 76 tahun di sebuah kawasan berhampiran tapak glamping terkenal di Pantai Puteri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan 12.10 tengah malam tadi selepas pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di laman sosial X.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku kira-kira jam 1.20 petang semalam yang mana mangsa dikatakan telah pergi ke kawasan tapak glamping berkenaan untuk bertemu dengan pemiliknya bagi membuat aduan.

Jelasnya, pertemuan itu adalah untuk menegur tindakan suspek yang melakukan pembakaran sampah secara terbuka di kawasan tanah milik mangsa hingga menyebabkan mangsa mengalami sesak nafas kerana asap yang banyak.

Bagaimanapun, katanya, suspek didakwa telah meluru ke arah mangsa dan menumbuknya beberapa kali di bahagian muka dan ketika cuba melarikan diri, mangsa telah dipukul lagi di bahagian belakang kepala sehingga terjatuh.

“Mangsa mendakwa, suspek turut mengugut mahu memukulnya dengan kayu dan kemudian telah berlari masuk ke dalam rumah.

“Akibat dipukul, mangsa mengalami sakit pada bahagian belakang kepala, muka, leher dan belakang badan, selain mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’,” katanya.

Christopher berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atau Seksyen 323 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana mempunyai masalah kesihatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

980
Kongsi :
Previous post Peniaga jual tomato RM15 sekilogram kena kompaun
Next post Van baharu untuk anak-anak istimewa
Ubah saiz-+=