Peniaga jual tomato RM15 sekilogram kena kompaun

Masa Membaca:55 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Januari – Gara-gara gagal mempamerkan harga pada jualan tomato, sebuah kedai runcit di Kampung Air Hitam Pantai, di sini, dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menerusi pemeriksaan mengejut yang dijalankan penguatkuasa KPDN hari ini, peniaga terbabit dikenakan tindakan kompaun serta merta bernilai RM200 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan itu dilakukan anggota penguatkuasaan agensi terbabit dilaksanakan selepas menerima aduan pengguna yang membeli hampir sekilogram tomato pada harga RM14.25.

“Alasan yang diberikan premis itu terpaksa menaikkan harga disebabkan menjual tomato gred A dan menerima harga dari pembekal dengan yang agak tinggi.

“Peniaga premis itu bagaimanapun mengaku bersalah kerana gagal mempamerkan tanda harga jualan dan bersetuju membayar kompaun RM200 serta-merta,” katanya.

Tambah Norena, pihaknya turut mengarahkan premis berkenaan menjual tomato pada harga munasabah dan peniaga akur untuk menurunkan harga jualan kepada RM8.99 sekilogram.

“KPDN Melaka menasihati premis perniagaan di seluruh Negeri Melaka agar mempamerkan tanda harga yang lebih jelas untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Mayat reput dipercayai ahli perniagaan ditemukan
Next post Lelaki pukul warga emas berhampiran tapak ‘glamping’ ditahan
Ubah saiz-+=