Vidakovic dedah punca Melaka United longlai
PAYA RUMPUT 6 April- Masalah dalaman menjadi antara punca Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) gagal menampilkan aksi bertenaga dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Ketua Jurulatihnya, Risto Vidakovic tanpa berselindung mengakui isu tunggakan gaji antara penyebab anak buahnya hilang fokus dan motivasi pada ketika ini.
Katanya, beliau mengharapkan pihak pengurusan dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain yang difahamkan dua hingga tiga bulan itu dengan kadar segera.
“Kalau dahulu saya sering marah pemain kerana lewat untuk menjalani latihan, dan hari ini saya sudah tahu mengapa dan saya cuba memahami keadaan mereka, pemain telah berikan yang terbaik dan semampu mereka.
“Isu penting (gaji) ini antara penyebab pemain-pemain tidak dapat memberikan fokus di padang.
“Masalah ini pertama kali saya hadap untuk kesekian kali sepanjang saya berkecimpung dalam arena bola sepak, saya menceburi arena ini pada umur 17 tahun dan kini saya sudah 53 tahun.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku jika ingin melihat pasukan ini pergi lebih jauh, pemain perlu ada motivasi dan motivasi datang dari perkara penting (gaji),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan Melaka United FC menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Vidakovic turut menyifatkan isu tunggakan gaji yang melanda beberapa kelab dalam negara merupakan sikap tidak profesional dalam arena bola sepak.
Katanya, sebagai jurulatih beliau sukar untuk meningkatkan motivasi pemain di atas padang ketika perlawanan apatah lagi ketika menjalani latihan kerana pemain berasa terganggu terhadap isu terbabit.
“Jika anda tidak mendapat apa yang anda perlukan (gaji) keadaan akan semakin sukar, ramai pemain menghadapi masalah sebegini, jadi saya minta masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.
Melaka United FC akan bersaing dengan pasukan Kuala Lumpur City FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu, 9 April ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.