Wang lebur, bil masih tertunggak

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 16 Feb – Seorang peniaga kerugian hampir RM5,000 selepas diperdaya ‘kontraktor TNB’ yang kononnya cuba membantu menyelesaikan tunggakan bil elektrik premis perniagaan diusahakannya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, terdahulu lelaki berusia 28 tahun yang tinggal di Malim itu menerima panggilan daripada suspek menyamar sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 1.20 tengah hari.

“Pada mulanya mangsa tidak mengesyaki apa-apa dan dalam perbualan itu suspek memaklumkan akan memutuskan bekalan elektrik ke premisnya atas alasan mempunyai tunggakan bil elektrik.

“Mangsa kemudian memaklumkan kepada suspek bahawa bayaran tidak dapat dibuat kerana terdapat kerja yang perlu diselesaikan selain tidak mempunyai masa.

“Suspek kemudian menawarkan kepada mangsa untuk membantunya menyelesaikan tunggakan dengan meminta peniaga terbabit memasukkan wang ke akaun peribadinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tanpa rasa curiga kemudian memasukkan wang berjumlah RM4,860 ke dalam akaun bank diberikan oleh suspek pada hari sama.

“Suspek berjanji akan memberikan resit pembayaran yang dikeluarkan TNB namun sehingga laporan polis dibuat mangsa masih belum menerima resit dijanjikan.

“Mangsa ke Balai Polis Ayer Keroh untuk membuat laporan selepas merasakan dirinya ditipu individu menyamar sebagai kontraktor terbabit,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan awal melalui aplikasi ‘Semak Mule CCID’ nombor akaun digunakan suspek terlibat dengan empat kes lain.

Sundra berkata, kes dilaporkan sebelum ini turut menggunakan modus operandi sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Jangan ganggu ibu bapa yang hendak vaksinkan anak – Khairy
Next post Melaka sasar RM500 juta pelaburan menerusi Expo Dubai 2020
Ubah saiz-+=