Melaka sasar RM500 juta pelaburan menerusi Expo Dubai 2020

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 16 Feb – Kerajaan negeri menyasarkan pencapaian sebanyak RM500 juta pelaburan masuk ke Melaka sepanjang tempoh penyertaan Melaka ke Expo Dubai 2020.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, menerusi expo itu kerajaan negeri telah merancang lebih lapan sesi forum dan ‘business talk’.

“Terdapat lima acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan lebih 30 padanan perniagaan sepanjang minggu di Melaka bakal diadakan sepanjang ‘Melaka Week’ di expo berkenaan.

“Melaka Week akan diadakan pada 13 Mac di Pavilion Malaysia, pameran melibatkan beberapa agensi kerajaan dan syarikat Perindustrian Kecil Sederhana (PKS), seminar serta ‘business talk’.

“Selain padanan perniagaan, business meeting (mesyuarat perniagaan) dan lawatan ke pavilion negara-negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran bagi Penyertaan Melaka di World 2020 Expo Dubai di Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; EXCO Kanan Pelaburan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abdul Aziz Engan serta wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Sulaiman dijadualkan akan mengadakan lawatan ke beberapa pavilion negara lain seperti Pavilion Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Sweden.

Selain itu, Sulaiman akan mengadakan perbincangan dan lawatan ke Sharjah Research Technology and Innovation Park, Dubai Global Village Management dan beberapa syarikat terkemuka UAE.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Wang lebur, bil masih tertunggak
Next post 27 agensi, GLC, PKS sertai delegasi Melaka ke Expo Dubai 2020
Ubah saiz-+=