Wanita tunggu tiga jam sebelum diselamatkan dari gaung

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JOHOR BAHRU 13 April. – Seorang wanita terpaksa menahan sakit kira-kira tiga jam sebelum diselamatkan dari gaung sedalam 20 meter, selepas beliau terjatuh ketika mendaki sebuah bukit di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau, dekat Mersing pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau PBK II Asrul Ahmad berkata, mangsa berusia 51 tahun itu cedera di kaki kirinya kerana dipercayai patah.

Katanya, mangsa dikatakan mula mendaki bukit itu bersama 11 rakannya pada jam 7 pagi, sambil ditemani seorang malim gunung.

“Ketika sedang mendaki, mangsa tiba-tiba terjatuh. Mangsa cuba diselamatkan oleh rakan-rakannya namun gagal, sebelum akhirnya mereka menghubungi bomba pada 8.36 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ANGGOTA membalut kaki mangsa yang cedera selepas terjatuh di gaung. Foto Facebook JBPM Johor.

Asrul berkata, pihaknya menghantar seramai 12 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian sejurus mendapat maklumat kejadian, tetapi berdepan dengan beberapa kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan tempat tersebut curam, dan perlu melalui kawasan paya bakau.

“Bomba mencuba beberapa kaedah untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan alat pengusung dan rentetan itu, mangsa akhirnya dapat dikeluarkan daripada gaung pada pukul 11.14 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post Kuota minyak masak bersubsidi kekal 60,000 tan sebulan
Next post Zii Jia tidak ambil vaksin kerana demam
Ubah saiz-+=